NADI Kampung Sungai Apin

“Safe & Shield: Keselamatan di Alam Maya” di SK Sebuyau Ensengei

Pada 27 Oktober 2024, Sekolah Kebangsaan Sebuyau Ensengei menjadi saksi kepada satu inisiatif hebat melalui program “Safe & Shield: Keselamatan di Alam Maya”. Dianjurkan secara kolaborasi oleh NADI Kampung Sungai Apin dan NADI Kampung Sampat, program ini berjaya memberi pendedahan penting kepada pelajar pra sekolah hingga Tahun 6 tentang cara melindungi diri di alam maya.

Sepanjang sesi, pelajar teruja mempelajari bahaya yang mungkin wujud dalam talian serta langkah-langkah keselamatan seperti penggunaan kata laluan yang kukuh, privasi akaun, dan pengendalian maklumat peribadi. Aktiviti interaktif dan perkongsian yang kreatif menceriakan suasana, menjadikan pembelajaran lebih menarik!

Antara tarikan utama program ini adalah sesi kuiz interaktif yang menguji kefahaman pelajar tentang ilmu keselamatan di alam maya yang telah dipelajari. Dengan hadiah menarik menanti pemenang, suasana menjadi lebih meriah dan kompetitif! Pelajar menunjukkan minat yang luar biasa, sambil berseronok belajar cara melindungi diri dalam dunia digital.

Selain itu, ceramah khas turut diberikan untuk mendidik pelajar mengenai risiko seperti buli siber dan penipuan dalam talian. Ibu bapa juga tidak ketinggalan diberi tips berkesan dalam memantau aktiviti anak-anak mereka di internet.

Program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara komuniti dan institusi pendidikan mampu melahirkan generasi celik digital yang lebih peka terhadap keselamatan siber.

Tidak lupa juga, pihak NADI juga turut mengadakan saringan kesihatan secara percuma kepada guru-guru di SK Sebuyau Ensengei.