
Pada 26 November 2024, SJK Chung Hua, Simunjan telah menjadi tuan rumah bagi program pendidikan keselamatan digital, “Safe & Shield: Keselamatan di Alam Maya”. Program ini adalah hasil kerjasama erat antara NADI Kampung Sungai Apin dan NADI Kampung Sampat, yang bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar prasekolah hingga Tahun 6 tentang pentingnya keselamatan dalam talian.
Program ini berjaya memupuk kefahaman para pelajar mengenai ancaman dunia siber serta langkah bijak untuk melindungi diri, seperti mencipta kata laluan yang kuat, menjaga privasi akaun, dan mengelakkan perkongsian maklumat peribadi. Dengan pendekatan yang santai tetapi bermakna, pembelajaran disampaikan melalui aktiviti interaktif yang menyeronokkan.





Sesi program diakhiri dengan kuiz keselamatan digital, di mana pelajar bersaing menjawab soalan berdasarkan ilmu yang mereka pelajari sepanjang program. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kefahaman mereka, tetapi juga menghidupkan suasana dengan sorakan dan semangat kompetitif. Pelajar yang berjaya memenangi kuiz pulang dengan hadiah istimewa!

Program ini membuktikan bahawa usaha bersama antara komuniti dan institusi pendidikan mampu melahirkan generasi yang celik digital dan lebih berhati-hati di dunia maya.